PIALA FA

Bekalan bawa Tok Gajah ke separuh akhir


Jumaat, 18 Mac 2011
Source: D5 Sports

Pemain Pahang Azamudin Mohd Akil beraksi dalam kesebelasan utama. (gambar arkib)

KUALA LUMPUR, (D5) - Bekalan pada suku akhir pertama sudah cukup memastikan Pahang layak ke separuh akhir Piala FA dengan agregat 2-1 ke atas Kuala Lumpur.

Pasukan pelawat yang dibimbing Razif Ismail gagal mencari tonik seperti yang diharapkan apabila sekadar mencatatkan 0-0 di Stadium Darul Makmur.

Di sebalik perlu mencari setidak-tidaknya dua gol, skuad Warga Kota bagaimanapun gagal meningkatkan permainan mereka.

Walaupun mencipta beberapa peluang, namun KL tidak memiliki penyudah yang jitu.

Pahang pula seperti mempertaruhkan bekalan pertemuan pertama dengan menampilkan pendekatan berhati-hati.

Percubaan terbaik Pahang hadir pada babak kedua sehingga memaksa Norazlan Razali melayangkan badannya untuk menepis sepakan percuma Shahrizan Salleh.

Susulan beberapa kali menafikan percubaan tuan rumah, Norazlan akhirnya dipilih selaku Pemain Terbaik Perlawanan.

Pada pandangan Razif, KL sebenarnya mampu menewaskan Pahang andai barisan serangannya memanfaatkan peluang yang terhidang.

"Kami mampu mengubah perlawanan ini terutama pada separuh masa pertama terutamanya Khairul Anuar Shafie.

"Anak-anak buah saya telah mencuba bersungguh-sungguh namun gagal merobek gawang lawan.

"Inilah yang kami alami sejak beberapa musim lepas sehingga melihat peluang kami sering terlepas begitu sahaja.

"Memang pemain saya kekurangan pengalaman dan masih muda dan saya harap mereka perbaiki kelemahan mereka pada masa akan datang," katanya.

Sambil itu, sikap terlalu yakin para pemain mungkin menjadi penyebab corak hambar permainan Pahang.

Menurut jurulatihnya, "Memang corak permainan kami begitu hambar. Saya sendiri tidak berpuas hati tapi sudah cukup dengan keputusan ini untuk ke separuh akhir.

"Kalau nak pergi jauh, kami kena ubah corak permainan kami," katanya.

Pahang bakal berdepan pemenang di antara Terengganu dan Perak, menurutnya, "Saya tak kisah, bagi saya kedua-dua pasukan itu begitu baik baik. Saya pasti pasukan mana sekalipun kami akan berikan yang terbaik."