PIALA SUMBANGSIH

Kelantan buka tirai musim 2011 dengan Piala Sumbangsih


Ahad, 30 Januari 2011
Source: D5 Sports

Image © D5 Sports
Pertemuan Selangor dan Kelantan bagi merebut Piala Sumbangsih ini akan disiarkan menerusi saluran Astro Arena (801).

SHAH ALAM, (D5) - Kelantan mempamerkan taring di awal musim 2011 dengan membenam Selangor 2-0 dalam perebutan Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam.

Rentak permainan meyakinkan sejak awal permainan menyaksikan skuad bimbingan M. Karathu itu menjulang Piala Sumbangsih buat julung kalinya.

The Red Warriors mendahului ketika permainan baru berusia lapan minit, Kelantan beroleh sepakan penalti selepas Nurul Azuan  Roya dijatuhkan Mohd Razman

Roslan di penjuru kanan dan mengakibatkannya mengutip kad kuning.

Kesempatan itu tidak dipersiakan Norshahrul Idlan Talaha yang mengambil sepakan itu sambil penjaga gawang, Iqbal Suhimi menerpa ke arah berlawanan.

Selangor sepatutnya dapat menyamakan kedudukan seandainya dapat menyudahkan dua kesempatan terbaik selain kerap terjerat dengan perangkap ofsaid.

Pada minit ke-13, Fadzli Saari membuat tandukan mengelirukan dan Khairul Fahmi hampir lemas manakala pada minit ke-31, giliran tandukan Safee Sali pula sekadar singgah di palang gol.

Kelantan kelihatan agak leka sebelum wisel rehat ditiupkan dengan memberi kepada pemain Selangor membuat percubaan.

Bersambung babak kedua, Kelantan menerapkan corak serangan pantas sementara Selangor sentiasa berhati-hati mengawal bola lalu menyusup ke kubu lawan.

Pada minit ke-61, kerancakan permainan bagaimanapun terhenti lebih 10 minit gara-gara penyokong membaling objek dan mercun ke dalam padang.

Menyedari nasib pasukannya tidak berubah, jurulatih Selangor, K. Devan membuat perubahan drastik dengan mengeluarkan Safiq Rahim dan Hardi Jaafar lalu memasukkan gandingan Fitri Shazwan Raduan dan Mohd Fazilidin Khalid.

Pada minit ke-84, Kelantan mengukuhkan kedudukan selepas sepakan percuma yang diangkat Kapten Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi dari sudut kanan ditepis masuk ke dalam gawang sendiri oleh Iqbal.

Tidak banyak berubah terhadap tempo permainan namun keputusan kekal sehingga perlawanan tamat